Terma Migrasi Akaun Snap
Berkuat kuasa: 1 Julai 2026
NOTIS PENIMBANGTARAAN: ANDA TERIKAT DENGAN PERUNTUKAN PENIMBANGTARAAN YANG DITETAPKAN DALAM TERMA PERKHIDMATAN PERNIAGAAN. JIKA ANDA BERKONTRAK DENGAN SNAP INC., MAKA ANDA DAN SNAP INC. MENGETEPIKAN APA-APA HAK UNTUK MENYERTAI TUNTUTAN MAHKAMAH TINDAKAN KELAS ATAUPUN PENIMBANGTARAAN PERINGKAT KELAS.
Terma Migrasi Akaun Snap ini (“Terma Migrasi Akaun”) membentuk kontrak yang mengikat secara sah antara anda dengan Snap dan mentadbir penggunaan ciri migrasi (“Ciri Migrasi”) Akaun Snap oleh anda. Terma Migrasi Akaun ini digabungkan ke dalam Terma Perkhidmatan Perniagaan. Beberapa terma yang digunakan dalam Terma Migrasi Akaun ini ditakrifkan dalam Terma Perkhidmatan Perniagaan. Ciri Migrasi ialah salah satu Perkhidmatan Perniagaan.
Ciri Migrasi Snap membolehkan pemindahan maklumat, data dan kandungan tertentu ("Aset Migrasi") daripada akaun asal yang dimiliki oleh seorang individu atau entiti ("Akaun Sumber") kepada akaun sasaran yang mungkin dimiliki oleh individu atau entiti lain ("Akaun Sasaran"). Jika pemilik Akaun Sumber meminta pemindahan dan pemilik Akaun Sasaran menerima pemindahan tersebut, Snap boleh memindahkan sebarang Aset Migrasi yang layak mengikut pertimbangan mutlaknya.
a. Jika anda ialah pemilik Akaun Sumber:
i. Jika anda tidak dapat mematuhi Terma Migrasi Akaun ini sepenuhnya berkenaan dengan semua Aset Migrasi yang dicadangkan, anda tidak boleh meminta pemindahan Aset Migrasi.
ii. Anda mengakui dan menjamin bahawa anda telah memperoleh dan akan mengekalkan semua hak, lesen, dan persetujuan yang diperlukan (termasuk daripada sebarang subjek data yang berkenaan (seperti yang ditakrifkan dalam Terma Perkhidmatan Perniagaan), dan seperti yang diperlukan untuk mematuhi Undang-undang yang Berkenaan) untuk Aset Migrasi yang akan dipindahkan kepada Akaun Sasaran oleh Snap.
a. Jika anda ialah pemilik Akaun Sasaran:
i. Anda akan menerima permintaan untuk meluluskan pemindahan Aset Migrasi daripada Akaun Sumber.
ii. Apabila kelulusan permintaan diterima daripada Akaun Sumber, anda akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan bertanggungjawab terhadap Snap di bawah Terma Perkhidmatan Perniagaan untuk Aset Migrasi sama seperti jika anda telah meluluskan, memberikan, menyediakan atau membolehkan Snap untuk menerima Aset Migrasi tersebut sendiri bagi pihak pemilik Akaun Sumber. Oleh itu, semua representasi, waranti dan aku janji serta kewajipan “anda” yang lain berkaitan dengan Aset Migrasi di bawah Terma Perkhidmatan Perniagaan (termasuk yang berkaitan dengan pengumpulan, peruntukan atau penyediaan Aset Migrasi mengikut Terma Perkhidmatan Perniagaan) hendaklah ditafsirkan sebagai representasi, waranti dan aku janji serta kewajipan lain anda masing-masing, sebagai pemilik Akaun Sasaran (dan bukan Snap atau mana-mana pihak ketiga).
iii. Anda mengakui dan bersetuju bahawa selepas anda meluluskan permintaan daripada Akaun Sumber, anda bertanggungjawab untuk semua Caj mulai dari saat itu secara serta-merta (seperti yang ditakrifkan dalam Terma Pembayaran).
iv. Jika anda tidak dapat mematuhi Terma Migrasi ini sepenuhnya berkenaan dengan semua Aset Migrasi yang dicadangkan, anda tidak boleh bersetuju dengan pemindahan maklumat, data atau kandungan tersebut, seperti yang berkenaan.
b. Beberapa Aset Migrasi mungkin tidak akan berfungsi kecuali atau sehingga langkah tambahan, konfigurasi semula, pengesahan semula atau keperluan lain yang anda selesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Aset Migrasi tertentu juga mungkin memerlukan persediaan, akaun, kebenaran, atau pengaturan tambahan dengan penyedia atau rakan kongsi yang berkenaan. Tiada Aset Migrasi akan dipindahkan kecuali kaedah pembayaran yang sah telah ditambahkan kepada Akaun Sasaran.
Terma Migrasi ini menetapkan keseluruhan pemahaman dan perjanjian antara anda dengan Snap berkenaan dengan penggunaan Ciri Migrasi oleh anda dan mengatasi semua perjanjian lain antara anda dengan Snap tentang Ciri Migrasi.